Monday, September 19, 2011

Perbandingan Agama.....Perlu ke?

Setiap hari dalam kehidupan kita sering membuat perbandingan dalam setiap perkara. Apabila kita ingin membeli sebuah kereta, kita akan membandingkan antara kereta Honda atau  Toyota. Perbandingan dibuat dari pelbagai sudut harga, spesifikasi dan sebagainya dengan tujuan agar pilihan kita adalah pilihan yang terbaik.

Malah perbandingan kita lakukan dari segi perkara besar hinggakan perkara kecil seperti membeli sekilo ikan kembung sekalipun kita pastinya akan membuat perbandingan dikalangan selonggok ikan yang ada dengan alasan yang sama iaitu ingin memastikan  pilihan yang dibuat adalah pilihan yang terbaik.

Tetapi pernahkah kita membuat perbandingan yang bersungguh-sungguh dan mendalam antara agama Islam yang dianuti secara warisan (bagi kebanyakkan dari kita orang Melayu) atau dikenali sebagai Islam baka dengan agama-agama lain yang ada bagi memastikan bahawa Islam yang kita imani adalah agama yang terbaik dan benar berbanding dengan agama-agama lain.

Seperti kita membuat perbandingan antara kereta Honda dan Toyota, maka kita perlu tahu spesifikasi, harga dan ciri-ciri setiap kereta tersebut. Tanpa mempunyai pengetahuan berkenaan informasi tersebut maka sukar bagi kita untuk membuat perbandingan dan menentukan pilihan. Begitulah juga jika kita ingin membuat perbandingan agama maka kita juga perlu tahu asas-asas agama tersebut. Cara yang terbaik untuk mempelajari agama lain adalah berdasarkan sumbernya iaitu kitab-kitab agama tersebut dan bukannya berdasarkan amalan penganutnya kerana seperti juga agama Islam yang sering disalahtanggap oleh kerana amalan penganutnya yang banyak menyimpang dari tunjuk ajar sebenar agama Islam.

No comments:

Post a Comment